Disunatkan bagi seorang lelaki yang hendak melamar melihat wanita yang ingin dilamarnya, demikian juga sebaliknya jika keduanya tidak pernah melihat sebelumnya. Kerana pengecaman akan menenangkan hati kedua pihak, dimana mereka akan melihat bahawa pada masing-masing daripada keduanya terdapat perkara yang menarik untuk dikahwini dan membina mahligai kehidupan rumahtangga bagi selama-lamanya.
Berkenaan dengan perkara itu, telah diriwayatkan oleh Mughirah bin Syu'bah, dia bercerita : "Aku pernah melamar seorang wanita, lalu Rasulullah SAW bertanya : ”Apakah engkau telah melihatnya? Tidak,” jawabku. Maka Rasulullah SAW bersabda : 'Lihatlah dia, kerana yang demikian itu akan mengekalkan kasih sayang di antara kamu berdua." (Riwayat oleh Tirmizi dan Nasa'i)
Daripada Jabir, dia bercerita, Rasulullah SAW bersabda :
"Jika salah seorang di antara kamu melamar seorang wanita, sekiranya dia dapat melihat sesuatu daripadanya yang mampu menambah keinginan untuk menikahinya, maka hendaklah dia melihatnya."
Jabir menceritakan :
"Saya melamar seorang wanita, lalu secara sembunyi-sembunyi melihatnya sehingga saya melihat sesuatu yang mendorongku untuk mengahwininya, dan kemudian saya pun mengahwininya."(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Demikianlah pendapat jumhur ulama. Namun masih terdapat perbezaan pendapat mengenai bahagian yang boleh dilihat dari wanita yang dilamar. Jumhur ulama berpendapat bahawa seorang pelamar dibolehkan melihat wajahnya dan kedua tapak tangannya saja, kerana bahagian-bahagian tersebut bukan termasuk aurat. Sedangkan al-Auza'i berpendapat, bahawa dia boleh melihat bahagian-bahagian daging. Manakala Daud az-Zahiri mengemukakan : "Dibolehkan melihat seluruh bahagian tubuh wanita tersebut." Yang terakhir ini jelas ditolak kerana bertentangan dengan sebuah ayat dalam surah An-Nur.
Diperbolehkan pula melihat wanita yang dilamarnya itu baik dengan izinnya mahupun tidak. Imam Malik mengemukakan Seorang yang melamar wanita tidak boleh melihatnya kecuali dengan seizinnya. Namun hadis Jabir di atas menolak pendapat tersebut.
Bagi wanita yang dilamar juga mempunyai hak yang sama, iaitu melihat lelaki yang hendak mengahwininya. Umar pernah berkata : "Janganlah kamu menikahkan anak perempuan kamu dengan lelaki yang berperangai jahat, kerana dia akan menarik hati mereka melalui apa yang akan menjadikan dirinya tertarik kepada mereka."
Berkenaan dengan perkara tersebut, pandangan penulis di dalam buku ini pada zaman sekarang ini tidak ada larangan bagi orang yang melamar untuk duduk di suatu tempat dalam batas tertentu dengan wanita yang hendak dilamarnya, supaya mereka saling melihat dan mengenal, dengan disertai oleh beberapa orang keluarga mereka. Hendaklah wanita itu mengenakan pakaian yang disyariatkan, iaitu tidak terlihat daripadanya kecuali wajah dan kedua tapak tangan.
Yang dimaksud dengan duduk-duduk di sini adalah untuk mengenali sahsiah dan beberapa pandangannya, akhlak dan gaya bahasanya, dan lain-lain dari tuntutan zaman. Duduk berkumpul dalam pertemuan seperti itu tidak perlu dilakukan berkali-kali, kerana si pelamar wanita tersebut masih dianggap bukan mahram. Seringkali, si pelamar meminta pertemuan berkali-kali, dan itu jelas sebagai bentuk pemuasan nafsu semata-mata dan menikmati perkara-perkara yang tidak dihalalkan baginya.
Dalam kitabnya, al-Mughni, Ibnu Qudamah membahas panjang lebar mengenai perkara ini. Di sini, penulis bermaksud untuk menukilnya bagi para pembaca sekalian untuk menambah khazanah pengetahuan. Ibnu Qudamah mengemukakan, kami tidak mengetahui adanya perbezaan pendapat di kalangan para ulama yang membolehkan lelaki melihat wanita yang akan dikahwininya. Jabir telah menceritakan Rasulullah SAW bersabda :
"Jika salah seorang di antara kamu melamar seorang wanita, sekiranya dia dapat melihat sesuatu darinya yang mampu menambah keinginan untuk mengahwininya, maka hendaklah dia melihatnya."
Jabir menceritakan lagi : "Lalu aku melamar seorang wanita dan secara sembunyi-sembunyi melihatnya, sehingga aku melihat sesuatu yang mendorongku untuk mengahwininya, kemudian aku pun melamarnya."
Mengenai perkara tersebut telah banyak hadis yang mengangkatnya. Kerana pernikahan itu merupakan akad yang mengesahkan bahawa mereka sudah bergelar suami isteri yang sah. maka suami berhak untuk melihat isterinya walaupun bahagian yang dilihatnya sebelum ini adalah haram.
Diperbolehkan bagi si pelamar untuk melihat wanita yang dilamarnya, baik dengan izinnya mahupun tidak, kerana Rasulullah SAW telah memerintahkan perkara itu secara amnya. Dalam hadis Jabir disebutkan, "Aku secara sembunyi-sembunyi melihatnya." Sedangkan dalam hadis Syu'bah disebutkan : bahawa dia meminta izin terlebih dahulu kepada kedua ibu bapanya untuk melihat wanita yang akan dikahwininya, namun keduanya menolak memberikan izin, namun wanita itu sendiri yang mengizinkannya.
Namun tidak diperbolehkan baginya untuk ber-khulwah (berdua-duaan) dengan wanita yang dilamarnya, kerana dia masih bertaraf ajnabi (bukan mahram). Berkenaan dengan perkara tersebut Rasulullah SAW bersabda :
"Tidaklah seorang lelaki berkhulwah dengan seorang wanita melainkan ketiganya adalah syaitan." (Riwayat At-Tirmizi)
Tidak diperbolehkan baginya melihat wanita yang hendak dikahwininya dengan perasaan nafsu birahi.
Dalam riwayat Sahih, Imam Ahmad mengatakan, "Diperbolehkan baginya melihat bahagian wajah dengan tidak disertai nafsu birahi. Selain itu, dia juga boleh melihatnya berkali-kali dan memperhatikan kebaikan yang ada padanya, kerana tujuan tidak akan tercapai kecuali dengan cara seperti itu."
Tidak ada perbezaan pendapat di antara para ulama mengenai melihat bahagian wajah ini. Yang demikian itu kerana wajah bukan termasuk aurat, sekali gus sebagai tempat bersatunya kebaikan dan menjadi tumpuan perhatian. Namun begitu, tidak dibolehkan baginya melihat apa yang tidak biasa nampak darinya.
Diceritakan daripada al-Auza'i, bahawa seorang lelaki dibolehkan melihat bahagian daging. Sedangkan dari Daud, dia berpendapat dibolehkan melihat seluruh bahagian tubuhnya. Ramai ulamak yang menolak pendapat Daud kerana ia bertentangan dengan Firman Allah SWT :
"Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak darinya." (An-Nur: 31)
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, dia mengatakan : "Wajah dan tapak tangan saja. Kerana melihat kepada wanita itu diharamkan, dan dibolehkan dengan sebab suatu keperluan, sehingga penglihatan itu dikhususkan pada bahagian-bahagian yang diperlukan saja, seperti yang telah kami nyatakan di atas.
Sedangkan mengenai bahagian-bahagian yang biasa nampak selain wajah, misalnya dua tapak tangan dan kaki serta yang seumpamanya yang biasa nampak pada wanita di rumahnya, maka terdapat dua pendapat :
Pertama, tidak diperbolehkan melihatnya, kerana perkara itu merupakan aurat. Bahagian-bahagian tersebut tidak boleh dilihat sebagaimana bahagian-bahagian yang tidak nampak. Abdullah bin Mas'ud pernah meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, "Wanita itu adalah aurat."
Kerana yang diperlukan adalah melihat wajah dan bahagian-bahagian lainnya tetap haram untuk dilihat.
Kedua, dibolehkan baginya melihat bahagian-bahagian tersebut. Imam Ahmad mengatakan, "Dibolehkan untuk melihat bahagian-bahagian yang diperlukan untuk tujuan perkahwinan seperti tangan, badan dan lain-lain."
Abu Bakar, seorang pengikut mazhab Hanbali, mengatakan, "Pada saat melamar, dibolehkan baginya melihat bahagian-bahagian yang sudah biasa terlihat ketika bekerja, seperti: kepala, leher, lengan dan bahagian bawah kedua betis."
Sedangkan Imam Syafi'i mengemukakan, "Dia hanya dibolehkan melihat wajah dan kedua tapak tangan saja."
Dibolehkannya melihat bahagian-bahagian yang biasa terlihat, ini berdasarkan ketika Nabi memberikan izin kepada kaum lelaki melihat wanita yang dilamarnya tanpa sepengetahuan dirinya (wanita yang dilamar), baginda mengetahui bahawa baginda memberi izin untuk melihat kepada apa yang biasa terlihat. Kerana tidak mungkin melihat bahagian wajah saja dengan adanya bahagian lain yang nampak. Dan kerana bahagian tersebut biasa terlihat, misalnya bahagian wajah sehingga perkara itu diperbolehkan untuk dilihat. Selain itu, kerana dia adalah seorang wanita yang boleh dilihat menurut ketentuan syarak, maka dibolehkan sebahagian dari tubuhnya untuk dilihat, sebagaimana wanita yang mahram. Sa'id telah meriwayatkan dari Sufyan, dari Amr bin Dinar, dari Abu Ja'far, dia bercerita, Umar bin Khatab pernah melamar anak perempuan Ali. Kemudian Ali berkata, "Akan kami kirim utusan untuk membawanya kepadamu sehingga engkau dapat melihatnya dan meredhainya." Lalu tersingkap bahagian kedua betisnya. sehingga puterinya itu berkata, "Kalau bukan kerana engkau seorang amirul mukminin, nescaya aku akan memukul kedua matamu." Demikian yang diriwayatkan oleh Abdurrazaq dan Sa'id bin Mansur.
http://www.ustaznoramin.com/2011/05/melihat-calon-isteri-yang-ingin.html