Aurat wanita semasa solat ialah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Hal ini disepakati fuqaha’ berdasarkan dalil-dalil berikut;
Allah berkata,
وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
An-Nur 24:31
Maksud ‘kecuali yang zahir’ dalam ayat ini sebagaimana yang ditafsirkan Ibnu Abbas r.a. ialah wajah dan dua tapak tangan wanita.
Aisyah melaporkan,
أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
Asma’ bint Abu Bakr telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah s.a.w lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.”
Hadis direkodkan olah Abu Dawud.
Hadis di atas menunjukkan bahawa kaki termasuk aurat tatkala Nabi s.a.w mengecualikan hanya wajah dan tangan.
Dalil lain yang menunjukkan dua kaki adalah aurat ialah hadis yang dilaporkan oleh Ummu Salamah. Dia pernah bertanya Rasulullah s.a.w ,
Apakah seorang wanita boleh menunaikan solat di dalam pakaian labuh dan tudungnya jika dia tidak mempunyai sarung? Nabi s.a.w menjawab,
إِذَا كَانَ الدِّرْعُ سَابِغًا يُغَطِّي ظُهُورَ قَدَمَيْهَا
“Asal pakaian labuh (jubah) itu sempurna dan menutupi zahir kedua kakinya.”
Hadis direkodkan oleh Abu Dawud.
Abu Dawud menyatakan sesetengah perawi hadis ini tidak menyebut ia daripada Rasulullah s.a.w tetapi dari Ummu Salamah sendiri.
Jika ia lafaz Ummu Salamah sekalipun, ia tetap menjadi dalil yang kuat memandangkan Ummu Salamah adalah isteri Rasulullah s.a.w. Sudah tentu Ummu Salamah mengamalkan perkara yang telah diketahui benar dari Rasulullah s.a.w itu sendiri.
Abu Dawud dan Al-Tirmizhi merekodkan hadis daripada Aisyah r.a yang mengatakan, bahawa Rasulullah s.a.w berkata,
لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ
“Allah tidak menerima solat wanita yang telah haid kecuali dengan mengenakan tudung”.
Hadis ini menunjukkan wanita yang telah baligh wajib menutup seluruh kepalanya ketika mahu solat.
Imam Tirmizi mengulas hadis ini di dalam Jami’nya (kitab karya beliau), “Apabila wanita yang telah baligh dan mukallaf melakukan solat dan ada bahagian rambutnya terdedah, maka solatnya dianggap tidak sah”.
Berdasarkan rasional yang telah dikemukakan, adalah jelas aurat wanita ketika solat ialah seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan. Fuqaha’ sepakat menyatakan demikian kecuali kaki, ada fuqaha’ yang mengatakan ia dimaafkan jika terbuka.
Rasional pendapat yang mengatakan kaki bukan aurat ialah,
“Menutup dua kaki semasa solat adalah disunatkan (digalakkan) serta bukan kewajipan yang tiada tawaran (rukhsah). Ini adalah kerana dua kaki bukan aurat yang wajib ditutup. Takwilan seperti ini dikuatkan oleh sebab adanya keperluan wanita membuka kedua kaki jika wanita berjalan. Sekiranya mereka menutup kaki, maka keadaan itu akan menyusahkan. Disamping itu, sesungguhnya kaki wanita bukan merupakan daya tarik bagi lelaki ketika dia melihat kakinya, tidak seperti ketika melihat wajahnya. Kalau wajah sahaja bukan aurat, walhal ia lebih banyak menjadi daya penarik lelaki, maka apatah lagi kaki. Justeru itu, kaki bukanlah aurat wanita”.
Secara peribadi, saya melihat hujjah yang mengatakan kaki bukan aurat agak lemah dibandingkan dengan hadis-hadis yang telah dinyatakan di atas. Hujjah yang digunakan lebih kepada lojik akal. Sedangkan lojik akal bila bertembung dengan nas, maka nas perlu diutamakan.
Berapa banyak perkara agama yang tidak boleh disandarkan kepada lojik akal semata-mata disebabkan terbatasnya akal manusia untuk berfikir. Alasan sukar berjalan jika menutup kaki tidak boleh lagi dipakai pada zaman sekarang. Lebih-lebih lagi di zaman teknologi moden semakin berkembang, wanita masih boleh memakai stokin yang pelbagai fesyen sekarang.
Saya pernah membaca kisah seorang wanita yang meremehkan menutup kaki semasa menunaikan haji. Banyaklah rungutannya akibat terpaksa memakai stokin, lebih-lebih lagi ketika stokinnya basah terkena air. Akibatnya dia ditimpa bala oleh Allah swt. Setelah sedar punca bala tersebut, wanita itu bersungguh-sungguh menjaga aurat kakinya.
insyaALLAH,kita sudah cukup matang untuk memikirkan baik buruk sesuatu perkara...halal haram sesuatu perkara...Jadi pilihlah untuk tetap memelihara aurat kaki. Biar stokin dibasahi air asalkan diri tidak dibasahi dosa.
No comments:
Post a Comment