Pulang bercuti ke Malaysia ketika cuti musim bunga yang lalu,keluarga saya banyak menerima undangan perkahwinan. Malah kakak sendiri selamat melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hati. Tidak menang tangan memenuhi undangan perkahwinan. Keseronokan membuat persiapan perkahwinan kakak sendiri membuatkan diri sendiri terasa mahu berkahwin.
Perihal perkahwinan ini adalah perihal yang mampu menggembirakan hati semua orang. Saudara mara terdekat tentu gembira dan seronok membuat persiapan, tema perkahwinannya, menu masakan, tidak dilupa jumlah undangannya. Apatah lagi perasaan insan yang bakal bergelar raja sehari. Pastinya lebih gembira daripada orang lain.
Bercerita perihal perkahwinan ini kadang kala mungundang tawa, kadang kala juga mencetus suasana yang serius. Berkongsi cerita tentang suami idaman, isteri idaman.
Ada yang mahu suaminya berkulit cerah dan tinggi,, ada yang mahu suaminya berkulit hitam manis. Hitam itu menawan katanya.
Ada yang mahu bakal isterinya kurus dan tinggi, ada pula yang lebih suka bakal isteri yang montel dan comel. Terserahlah, itu semua pilihan kita.
Saya juga tidak terlepas berbicara perihal perkahwinan ini ketika berbual dengan rakan-rakan. Namun ada sesuatu yang kita perlu tahu.
Dunia sekarang mencetus satu fenomena yang mana masing-masing seakan-akan mencipta trend dan kelainan sendiri tentang mas kahwin dan jumlah wang hantarannya. Seboleh mungkin mahu mencipta jumlah hantaran yang termahal dan paling unik.
Nabi pernah bersabda bahawa perkahwinan yang berkat adalah perkahwinan yang paling murah mas kahwinnya. Perlu difahami disini bahawa perkahwinan ini adalah suatu perkara mulia yang dikatakan juga menyempurnakan separuh keimanan kita.
Pada saat si lelaki melafazkan akad nikah aku terima nikahnya si polan binti si polan, bermakna si lelaki telah melafazkan kesanggupannya menanggung dosa si isteri. Jadi kepada ibu bapa si perempuan, mengapa kita mahu meletakkan harga yang mahal kepada orang yang telah sanggup menanggung dosa anak perempuan kita?
Namun kita lebih memilih untuk terus bertanding dengan jiran sekeliling, Anak orang tu mas kahwinnya 10 ribu, kita pun letak mas kahwin anak kita sebanyak 11 ribu.
“ Kenapa mahal sangat mas kahwinnya?”
“ Eh, sekarang semua orang letak mahal-mahal la.”
Inilah silapnya kita yang suka mengikut trend yang merugikan kita sendiri. Sehingga ada yang memilih untuk tidak berkahwin kerana merasakan sukar dan tidak mampu memenuhi permintaan keluarga perempuan yang terlalu mahal sedangkan perkahwinanlah satu-satunya cara yang menghalalkan hubungan lelaki dan wanita yang bukan mahram. Kenapa perlu ikut orang lain sedangkan sudah terang lagi bersuluh seorang saja insan yang boleh kita jadikan contoh terbaik iaitu Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah bersabda bahawa perkahwinan yang diberkati itu adalah perkahwinan yang paling rendah nilai mas kahwinnya., Jadi, marilah ikut apa yang Rasulullah sarankan ini.
Untuk yang bergelar wanita pula, kita punya tanggungjawab yang begitu besar tatkala akad dilafaz oleh si suami. Boleh kata semua yang kita buat untuk suami itu bakal membuahkan pahala yang cukup besar. Naqibah saya di Malaysia dulu pernah juga beritahu, kalau kita rindu pada suami pun kita dapat pahala.
Daripada Anas, Nabi s.a.w bersabda yang bermksud,
“ Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” [ Hadith Riwayat Ahmad]
Bestnya! Terlihat begitu mudah bagi wanita untuk memasuki syurga melalui pintu yang kita sukai. Hanya perlu solat, puasa, jaga kehormatan dan taat kepada suami saja! Terlihat mudah tidak menjamin ianya mudah untuk kita lakukan. Secara peribadinya, bagi saya ianya tidak mudah. Solat lima waktu pun kita tidak mampu memeliharanya dengan baik, nak solat di awal waktu pun kadang-kadang terasa berat. Nak jaga kualiti puasa pun kadang-kala susah apatah lagi nak berlaku taat kepada suami. Belum tentu apa yang suami perintahkan kita, mampu kita lakukan.
Berapa ramai isteri yang menghantar suami hingga ke kereta setiap pagi ketika suami mahu ke tempat kerja?
Berapa ramai isteri yang tolong buka dan tutupkan pintu kereta untuk si suami?
Berapa ramai isteri yang menyambut kepulangan suami setelah suami penat bekerja?
Dan berapa ramai isteri yang memohon maaf pada suami jika masakannya pada hari itu terkurang manis masinnya?
Renungkanlah dan muhasabahlah! Bercakap perihal perkahwinan memang akan mengundang perasaan mahu berkahwin. Mahu ada yang menyayangi. Namun disebalik sesuatu yang kita lihat seronok dan mudah itu terselit sesuatu yang bakal menjamin tempat kita di ‘sana’ kelak. Syurga atau sebaliknya.
Nak kahwin boleh tapi kena fikir kesemua tanggungjawab yang akan kita galas apabila bergelar suami atau isteri nanti. Baik lelaki mahupun perempuan, masing-masing punya tanggungjawab. Sebelum berkahwin, perlulah kita menuntut sebanyak mungkin ilmu perkahwinan agar kita mampu membina perkahwinan yang diberkati, ‘masjid’ yang teguh struktur binaannya.