Logo Design by FlamingText.com
Logo Design by FlamingText.com
Image by FlamingText.com
Image by FlamingText.com

.....

.....

Saturday, April 23, 2011

“Wahai Bilal, apakah kamu tidak merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?” soal Nabi Muhammad SAW dalam mimpi bilal.



Di mana sahaja kita berada di pelusuk dunia, pasti akan ada orang yang mengenali Bilal Bin Rabah. Kelahirannya dari bumi Habsyah, mengikut riwayat lain, dari negara hijaz.

Kulitnya berwarna hitam, ternyata hatinya putih berseri dengan basuhan wudu’ yang tidak pernah diabaikannya sejak keislamannya. Terbukti dengan kisah Isra’ dan Mikraj Nabi SAW yang mendengar tapak kakinya di dalam syurga, walhal beliau masih hidup di bumi yang maha fana’.

“Wahai bilal, apakah amalan yang kamu tidak pernah tinggal? Sesungguhnya Aku mendengar tapak kakimu sudah berada dalam syurga” Nabi SAW bertanya setelah pulang dari perjalanan Isra’ dan Mikraj.

Bilal menjawab, “Aku tidak akan melakukan azan melainkan aku akan solat dua rakaat. Apabila aku berhadas, pasti aku akan berwudu’, selepas itu, aku akan menunaikan solat dua rakaat”.

Beliau menjadi hamba kepada seorang tokoh besar kafir, Umayyah bin Khalaf. Seorang yang sangat membenci Islam. Berani dengan orang lemah, tetapi takut dengan orang yang berkuasa.

Semasa bilal masih hamba, berita keislaman bilal menyebabkan dia menjadi berang, sehingga sanggup menyeksa bilal sezalim-zalimnya. Dia menelanjangkan bilal, lalu mencampakkan tubuh yang tidak seurat benang itu ke padang pasir yang kepanasan. Di letakkan batu yang berat di dada bilal, sehingga sendat penafasan Bilal. Tidak dapat dilafaz, melainkan “ahad, ahad dan ahad” sahaja, sebagai tanda ketauhidan bilal terhadap Allah SWT.

Abu Bakar As-Siddiq R.A melihat kezaliman Umayyah yang sudah sampai ke tahap luar dari peri kemanusiaan, malah peri kebinatangan, menyebabkan Abu Bakar telah membeli Bilal, malah memerdekakannya.

Bilal terselamat dari seksaan Umayyah, tetapi kejahatan Umayyah tidak berhenti sekadar itu, malah berterusan pula dilakukan terhadap keluarga Ammar bin Yasir sehingga berlaku pembunuhan terhadap bapa Ammar, Yasir dan ibunya, Sumayyah binti Al-Khayyat.

Umayyah yang jahat dibunuh Bilal dalam peperangan Badar, waimma pada asalnya, dia tidak mahu terlibat dalam peperangan badar tersebut. Dia sudah menjangkakan, kehadirannya dalam peperangan badar akan menyebabkan dia berketemu dengan Bilal.

Tidak mahu terlibat dalam peperangan badar, memperlihatkan kekecutan Umayyah yang dilihat berani dihadapan hamba-hamba yang lemah. Uqbah bin Abi Muayyit memperlekeh Umayyah dengan menggambarkan Umayyah seperti perempuan.

Diambilnya setanggi wangian, diperasapkan dihadapan Umayyah seraya berkata, ”wangian setanggi akan melekat kepada tubuh kamu wahai Umayyah. Ini menandakan, kamu sebenarnya tidak jantan, tetapi adalah wanita” Abu Muayyit ketawa terbahak-bahak.

Bagai dipelempang ke muka dengan penghinaan yang dilakukan oleh Abu Muayyit itu, menyebabkan Umayyah terlibat juga dalam peperangan Badar yang merupakan perang yang terakhir dia sertai, seterusnya berjumpa dengan tuhan yang maha memberi keadilan.


Umayyah terbunuh dalam peperangan badar dengan tetakan pedang yang dilakukan oleh Bilal. Sebelum tetakan terkena lehernya, kelihatan diwajahnya rupa ketakutan, tidak seperti bilal yang diseksanya dahulu.

Sejak Islam bilal, beliau terlalu rapat dengan Nabi SAW. kulitnya yang hitam, tidak pernah dijadikan perasaan ’geli geleman’ dalam hati nabi untuk menjadikannya sebagai sahabat yang rapat.

Di saat azan disyariatkan, bilal yang menyebut kalimah ”ahad, ahad dan ahad” dikala awal keislamannya yang diseksa oleh kuffar, dilantik oleh Nabi SAW sebagai Muazzin (baca : tukang azan). Perlantikan yang membawa satu pengiktirafan terhadap keimanan dan keislaman bilal sehingga ke hari ini.

Selepas kewafatan Nabi, Bilal bersedih hati yang teramat sangat. Beliau tidak sanggup melihat maqam Nabi SAW. Apabila dilihat ke Makam nabi, pasti matanya tidak disedari menitiskan air.

Tidak sanggup menahan kerinduan, dia berjumpa dengan Abu Bakar As-Siddiq yang baru dilantik menjadi Khalifah untuk meminta izin untuk berpindah ke negara lain. dia tidak bersedia untuk menjadi muazzin di saat Nabi SAW tidak dapat dilihat lagi.

Dengan pujukan dan rayuan, Abu bakar As-Siddiq memintanya kekal sebagai muazzin. Dengan berat hati dan bertanggungjawab, tidak sanggup dia menolak permintaan Abu bakar As-Siddiq yang menyelamatkannya dari seksaan Umayyah bin Khalaf di awal Islamnya dahulu.

Di awal pemerintahan Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah, permintaan yang sama diajukan oleh Bilal. Permintaan itu dimakbulkan oleh Umar.

Dia berhijrah ke Syria. Tinggal di sana, meneruskan sisa hidup dengan berdakwah dan berjihad. Dia tidak mengabaikan tugasan dakwah yang ditarbiyyah oleh Rasulullah SAW.

Semasa di syria, dia telah bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW.

“Wahai Bilal, apakah kamu tidak merinduiku? Apakah kamu tidak mahu menziarahiku?” soal Nabi Muahmmad SAW dalam mimpi bilal.

Sedar dari mimpi, bilal kesedihan. Kerinduannya terhadap Nabi semakin meluap-luap. Air matanya mula menitis. Dia terus berazam, akan ke Madinah; menziarahi kubur Nabi SAW sebagai cara untuk menghilangkan kerinduannya terhadap Rasulullah SAW.

Sesampai di Madinah, Bilal terus meluru ke kubur Nabi SAW. Melihat kubur nabi, hatinya sudah tidak tertahan lagi, dia menekup mukanya, kelihatan air mata menitis lebat.

Dia berjumpa dengan cucunda Nabi SAW; hasan dan Husain. Dia memeluk dan mencium kedua-duanya.

Dalam suasana kesedihan itu, Hasan dan Husain berkata, “Pak Cik bilal, kami terlalu ingin mendengar azan kamu”

Pemintaan dua cucunda Nabi SAW itu tidak dihampakan. Beliau naik di atas bumbung kaabah dan berdiri. Beliau pun memulakan laungan azan.

“Allahu akbar, Allahu akbar… Allahu Akbar, Allahu Akbar” laungan pertama menyebabkan madinah kegamatan. Ramai rakyat madinah terkejut. Mereka keluar dari rumah masing-masing.

Apabila sampai laungan, “Asyahadu Anna muhammad Rasulullah” kegamatan madinah itu telah bertukar dengan kedengaran tangisan manusia.

Tangisan yang berpunca, cari kerinduan mereka terhadap nabi SAW. kerinduan bersama kekasih Allah yang merupakan seorang pemimpin yang tercinta. Semasa bilal di Syria, beliau tidak dilantik menjadi muazzin. Lagipun, sebarang permintaan terhadap beliau untuk jawatan tersebut, pasti akan ditolak.

Di saat Umar bin Al-Khattab menjadi Khalifah, beliau telah menziarahi Syria. Memandangkan orang syria tidak pernah mendengar azan laungan bilal, mereka berjumpa dengan Umar, meminta agar Umar memohon untuk Bilal melaungkan azannya.

Awalnya, permohonan umar itu ditolak, tetapi setelah diminta, waimma untuk satu solat sahaja, maka bilal pun akur. Bilal naik di atas menara, dan memulakan laungan azannya. Sahabat-sahabat Nabi SAW yang berada di Syria menangis mendengar azan bilal tersebut, sedang orang yang paling keras menangis ketika itu adalah Umar bin Al-Khattab sendiri.

Inilah bilal bin Rabah, seorang sahabat yang tidak mempunyai rupa yang cantik, tetapi perjuangannya dalam memenangkan dan mengembangkan Islam ternyata ikhlas, malah terbukti diterima oleh Allah SWT semasa hidup beliau lagi.

Beliau meninggal dunia di Syria sewaktu umurnya 60 tahun lebih. Beliau meninggal dunia pada tahun 20 hijriah. Mengikut riwayat lain, beliau meninggal dunia pada tahun 21 hijriah.
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed

1 comment:

fwzsoleh said...

subhanallah..
sangat menyentuh qalbu,kasih sayang sahabat kepada nabi,kasih sayang yang sejati