Logo Design by FlamingText.com
Logo Design by FlamingText.com

.....

.....

Sunday, May 15, 2011

Nakbah 63...!!!



KENYATAAN AKHBAR...
Aqsa Syarif Memperingati Ulangtahun Nakbah ke 63.



Bulan Mei 2011 ini genaplah ulangtahun peristiwa Nakbah yang ke 63. Peristiwa Nakbah secara rasminya diingati pada 15 Mei setiap tahun. Ia merujuk kepada pengisytiharan Negara haram Israel pada 15 Mei dan disambut di Israel sebagai ‘Hari Kemerdekaan’ Israel setelah mereka memenangi peperangan yang mereka dakwa sebagai ‘The War of Independence’ (Peperangan bagi memperoleh kemerdekaan) sedangkan hakikatnya ialah mereka merampas negara Palestin dengan mengusir penduduk Arab dari tanah air mereka. Akibat dari aksi-aksi terror oleh gerombolan bersenjata Yahudi zionis, 800,000 rakyat Palestin terpaksa menyelamatkan diri dengan meninggalkan kampong halaman dan berlindung di Syria, Lubnan, Tebing Barat, Jordan dan Semenanjung Gaza.

Kini setelah enam puluh tiga tahun penderitaan itu kini diwarisi oleh tidak kurang dari 5 juta pelarian yang sebahagian besarnya merupakan generasi kedua dan ketiga yang tidak pernah menjejakkan kaki di tanah air mereka. Ini bererti mereka telah menunggu selama enam puluh tiga tahun untuk pulang ke Palestin. Jika Nelson Mandela diraikan sebagai pahlawan kemanusiaan terulung kerana sanggup dipenjarakan selama 30 tahun demi membebaskan bangsa kulit hitam Afrika Selatan dari sistem Apatheid, maka rakyat Palestin yang menghuni kem-kem pelarian sejak enam puluh tiga tahun lalu lebih wajar dinobatkan sebagai pahlawan hak asasi yang tidak pernah mengenal erti putus asa.

Walaubagaimanapun ulang tahun Nakbah pada tahun ini memberikan harapan baru kepada rakyat Palestin. Ini adalah kerana pandangan umum masyarakat antarabangsa terhadap Israel sudah berubah. Jika sebelum ini rata-rata masyarakat antarabangsa mempertahankan apa juga tindakan biadap Israel termasuk melakukan serangan dan membunuh rakyat Palestin, kini Israel berhadapan dengan cemuhan dan bantahan rakyat awam dan pemimpin dunia. Bahkan senario pasca Israel mula dibahas oleh penganalisis konflik Palestin-Israel atas unjuran entiti Israel bakal lenyap dari lanskap politik timur tengah. Jika dahulu rakyat Palestin dilihat sebagai pengganas dan musuh kepada proses damai dan ancaman kepada keamanan di timur tengah, kini Israel yang digelar sebagai rogue state atau negara penyangak. Situasi yang digambarkan oleh guru Sejarah Barat terunggul Arnold Toynbee mungkin tidak lagi benar.

“Benar dan salah di Palestin adalah sama sebagaimana di tempat-tempat lain. Masaalahnya, dunia memilih untuk mendengar pihak yang melakukan kezaliman (Israel) dan memilih untuk memekakkan telinga dari mendengar dari pihak mangsa (rakyat Palestin)”

Dunia kini mula memberi ruang kepada rakyat Palestin untuk menyuarakan hak mereka. Perkembangan terkini yang melanda dunia Arab memberi ruang yang amat luas untuk rakyat Arab yang selama ini dipenjara oleh rejim-rejim kukubesi di negara masing-masing untuk menyatakan sokongan terbuka mereka ke atas perjuangan rakyat Palestin. Mereka bukan sahaja bebas menyatakan sokongan bahkan mereka bebas bertindak membantu rakyat Palestin dan mengeluarkan mereka dari penghinaan yang ditimpakan selama ini oleh rejim Zionis yang dilindungi oleh pemimpin-pemimpin Arab. Senario ini amat berbeza apabila Israel melancarkan serangan biadap ke atas Gaza pada penghujung bulan Disember 2008 dan berakhir pada 23 Januari 2009. Gaza yang dikepung dan dikenakan sekatan ekonomi komprehensif bertukar menjadi lapangan sasar untuk membunuh rakyat awam yang tidak bersenjata. seluruh dunia amat terkejut dan bangkit membuat bantahan yang terbesar pernah disaksikan.

Protes besar-besaran yang dianjurkan di seluruh dunia terutama di kotaraya Eropah dan Amerika Syarikat telah mencetuskan usaha tersusun untuk membantu rakyat Palestin. Seruan untuk memulau dan memboikot Israel diterajui di peringkat global. NGO yang memperjuangkan hak rakyat Palestin mula membentuk jalinan dan mengkoordinasi bantuan di peringkat antarabangsa. Kerjasama ini akhirnya membuahkan tekad untuk memecahkan tembok kepungan Gaza melalui melalui misi-misi kemanusiaan. Kemuncak kepada inisiatif misi kemanusiaan ini ialah Freedom Flotilla yang berakhir dengan tragedi Mavi Marmara di perairan antarabangsa. Sekali lagi Israel bertindak biadap dengan membelakangkan undang-undang antarabangsa dengan menyerang kapal Mavi Marmara yang tidak bersenjata dan mengakibatkan 9 orang sukarelawan Turki terbunuh. Rakyat Malaysia turut terkesan dengan tragedi ini kerana Freedom Flotilla turut disertai oleh 12 warga Malaysia termasuk dua dari Aqsa Syarif. Serangan biadap yang jelas merupakan satu pelanggaran undang-undang maritim antarabangsa telah mendapat bantahan dan kutukan dari masyarakat sivil terutama dari negara-negara Barat. Komuniti antarabangsa yang semakin simpati dengan nasib rakyat Palestin terus menyusun inisiatif bantuan kemanusiaan sehingga dilancarkan pula misi Konvoi Darat (Viva Palestina 5) yang melibatkan lebih dari 200 ambulan dan kenderaan pelbagai guna yang memulakan perjalanan dari London menuju Gaza. Konvoi darat ini juga turut disertai oleh 12 orang sukarelawan Malaysia, di mana 7 mewakili Aqsa Syarif dan 5 dari Viva Palestina Malaysia.

Berbanding siri bantahan yang dianjurkan di negara-negara barat menyokong rakyat palestin dari tahun 2009 hingga 2011, negara-negara Arab terus membisu dan menunjukkan sikap dingin terhadap perjuangan rakyat Palestin. Apabila bantuan datang dari segenap pelosok dunia untuk membantu rakyat Gaza, Mesir terus menutup sempadan masuk ke Gaza dan menghalang bantuan dari menyeberang masuk ke Gaza. Rejim Hosni Mubarak tidak mempedulikan rayuan masyarakat antarabangsa supaya sempadan dibuka dan bantuan segera diberikan kepada penduduk Gaza. Sebenarnya Hosni Mubarak bersekongkol dengan rejim Zionis Israel dan mengikut sahaja telunjuk Amerika Syarikat dan Eropah yang ingin memastikan Gaza terus dijkepung. Bagi Hosni Mubarak, keselamatan Israel paling utama dan pengaruh HAMAS perlu dibanteras. Jika sekatan dilonggarkan kedudukan Israel akan tergugat. Senario ini pastinya akan menggoyahkan kedudukan rejim Mubarak. Lantaran itu Hosni Mubarak terus mengambil sikap tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin dan membiarkan mereka berhadapan dengan krisis kemanusiaan yang terburuk di abad ini. Bukan sahaja Mesir, bahkan seluruh Negara-negara Arab termasuk Jordan, Arab Saudi, dan Negara-negara Teluk terus berdiam diri meskipun mereka boleh menggerakkan pelbagai inisiatif dan sumber untuk membebaskan rakyat Palestin dari kepungan dan kezaliman rejim Zionis. Hakikatnya mereka adalah khadam yang berkhidmat kepada Israel. Mereka diupah oleh Amerika untuk memastikan keselamatan Israel terus terpelihara dari ancaman rakyat Arab. .

Angin perubahan mula bertiup pada awal tahun 2011. Satu demi satu rejim Arab bermula dengan Tunisia ditumbangkan oleh rakyatnya sendiri. Revolusi ‘Jasmine’ telah menumbangkan rejim kuku besi Ben Ali di Tunisia. Rakyat Mesir yang mendapat inspirasi dari kebangkitan di Tunisia kemudiannya menumbangkan pula rejim Hosni Mubarak. Kini Libya pula dicengkam oleh pergelutan di antara rakyat dan rejim Muamar Gadafi dan bakal menyaksikan satu lagi negara despot Arab ditumbangkan. Beberapa riak kebangkitan rakyat juga sedang berlaku di Syria, Jordan dan Bahrain. Kebangkitan rakyat Negara-negara Arab ini telah membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan kuku besi diktator Arab dan yang lebih penting lagi memerdekakan mereka dari penghinaan yang ditimpakan oleh rejim-rejim Arab yang melindungi Israel. Selama berpuluh tahun rakyat Arab dan umat Islam dihina oleh pemimpin mereka. Kini mereka mula menghirup udara kebebasan untuk menebus maruah yang tercalar di tanah air mereka dan juga di bumi Palestin.

Sesungguhnya angin perubahan yang berlaku di timur tengah adalah berita paling baik bagi rakyat Palestin sejak 63 tahun tragedi Nakbah. Bahkan ia adalah berita terbaik sejak hampir seratus tahun yang lalu apabila Palestin digadai oleh perutusan rahsia yang terkandung dalam Hussein McMahon Correspondents (1915), konspirasi jahat British dan Peranchis dalam perjanjian rahsia Sykes-Picot (1916) dan di Parlimen British dengan sehelai dokumen keparat bernama Deklarasi Balfour (1917). Siri-siri pengkhianatan dan siasat keji di antara pemimpin Arab yang berkepentingan dan kuasa barat seperti yang diputuskan oleh PBB lewat UNSCOP dan Partition Plan dan resolusi 181 telah memberi lesen kepada zionis untuk merancang siri-siri keganasan ke atas rakyat Palestin yang mencetuskan tragedi Nakbah.

Ketika rencana ini ditulis, Menteri Luar Mesir mengumumkan sempadan Rafah ke Gaza akan dibuka dalam masa yang terdekat dan ia akan terus dibuka bagi menamatkan kepungan israel ke atas Gaza yang sudah melewati lima tahun sejak 2006. Ini disusuli pula dengan persetujuan HAMAS dan FATAH untuk membentuk kerajaan perpaduan sebagai landasan penyatuan rakyat Palestin di dalam membebaskan Palestin dari pendudukan Zionis.

Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada kerajaan Mesir atas pendirian yang ditunggu sejak sekian lama. Aqsa Syarif juga mengalu-alukan penyatuan HAMAS dan FATAH, satu perkembangan yang mendapat dokongan masyarakat antarabangsa yang mahu melihat wujudnya satu front rakyat Palestin di dalam menghadapi Zionis Israel. Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Arab yang telah berjuang bersama rakyat Palestin untuk menumbangkan sekatan-sekatan yang menghalang pembebasan bumi Palestin di negara mereka sendiri. Aqsa Syarif mengucapkan tahniah kepada semua pejuang hak asasi dan sukarelawan yang tidak pernah gentar berhadapan dengan ancaman Israel untuk membantu membebaskan rakyat Palestin.

Sempena ulangtahun Nakbah yang ke 63 Aqsa Syarif akan memperkuat azam untuk ’MEMPERKASA UMMAH, MEMBEBASKAN AL-AQSA”

Dr Hafidzi Mohd Noor
bp Pengerusi
Aqsa Syarif Bhd
15 Mei 2011
Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Digg
Facebook
Yahoo
Feed
Post a Comment