PENGERTIAN
Jamadil Awal memberi erti permulaan musim sejuk. Dari segi bahasa, ia bermaksud kering atau beku. Bulan ini dinamakan sedemikian adalah kerana dalam bulan tersebut orang Arab pada zaman dahulu mengalami kekeringan air atau air menjadi beku. Pada ketika itu parit, sumur, sungai dan lembah menjadi kering.
PERISTIWA-PERISTIWA PENTING BULAN JAMADIL AWAL
1. Peperangan "Al-'Ashirah" pada tahun kedua Hijrah, dipimpin oleh Baginda s.a.w. Tidak berlaku apa-apa pertempuran disebabkan perjanjian damai yang dimeterai antara Rasulullah s.a.w. dengan Bani Mudlij dan penyokong mereka Bani Hamzah. Baginda s.a.w. bersama sahabat kembali ke Madinah.
2. Peperangan "Zat Ar-Riqa`" pada tahun kedua Hijrah, diketuai oleh Baginda s.a.w. Ianya di satu kawasan di daerah Najd di kediaman Bani Muharib dan Bani Tha`labah dari kaum Ghatafan. Tiada pertempuran dan peperangan yang berlaku, ianya dinamakan Zat Ar Riqa' (yang mempunyai cebisan kain) kerana para sahabat membalut kaki-kaki mereka dengan cebisan kain kerana kepanasan bumi Najd.
3. Perutusan sekumpulan tentera Islam yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah ke "Al-Qussah" seramai 10 orang. Ianya bertujuan memerangi Bani Tha`labah, tetapi perutusan tersebut telah diserang hendap oleh seratus orang Badwi dan membunuh kesemua perutusan itu kecuali Muhammad bin Maslamah yang mendapat kecederaan parah sehingga orang-orang Badwi menyangkanya telah mati. Sekumpulan Badwi yang lain telah membawa beliau ke Madinah untuk mendapatkan rawatan di sana.
4. Peperangan Mu'tah pada tahun kelapan Hijrah. Ianya disebabkan oleh pembunuhan yang dilakukan oleh Syarahbil bin `Amr Al-Futhaniy terhadap seorang utusan Rasulullah s.a.w. iaitu Al-Harith bin `Umair Al-Azdiy dari kaum Bani Lahab. Beliau diutus oleh Baginda s.a.w. membawa sepucuk surat kepada Maharaja Rom atau Pembesar Busra tetapi dia telah ditahan dan diikat oleh Syarahbil lalu dibunuhnya. Rasulullah s.a.w. amat murka dengan pembunuhan tersebut kerana mengikut peraturan pada zaman itu seseorang utusan tidak boleh diapa-apakan sehinggalah dia pulang ke tempat asalnya. Baginda s.a.w. menghantar sekumpulan tentera yang dikepalai oleh Zaid bin Harithah dan berpesan "sekiranya Zaid terkorban, dia hendaklah diganti oleh Ja'afar bin Abi Talib, sekiranya dia terkorban juga Abdullah bin Abi Rawahah akan memimpin tentera tadi". Kesemua sahabat tadi syahid di dalam peperangan itu lalu ianya dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid yang telah mengundurkan tentera Islam secara tersusun dan kemas tanpa mengalami apa-apa kehilangan jiwa dan kekalahan.
5. Peperangan Ajnadain pada tahun kelima belas Hijrah. Ianya berlaku di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Amru bin Al-`As, Abu `Ubadah bin Al-Jarrah dan Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang dikepalai oleh Wardan di kawasan Ajnadain di Timur Yerusalem (Al-Quds). Tentera Rom tewas di dalam peperangan itu dan pemimpin mereka Wardan juga mati di situ. Ianya berlaku berhampiran bandar Ramallah dan membuka jalan untuk pembukaan bandar Palestin.
6. Kematian Asma' binti Abu Bakar As-Siddiq yang digelar "Zat An-Nitoqain", salah seorang yang dijanji masuk ke syurga Allah s.w.t. dan merupakan orang perempuan kedua yang memeluk Islam selepas Khadijah binti Khuwailid. Beliau meninggal pada tahun 73 Hijrah semasa berumur seratus tahun. Merupakan ibu kepada Abdullah bin Az-Zubair yang telah dibunuh oleh Al-Hajjaj Ath-Thaqafiy.
7. Kematian Abdullah bin Az-Zubair pada 17 Jamadil Awal tahun ke 73 Hijrah yang merupakan anak kaum Muhajirin yang pertama dilahirkan di Madinah semasa penghijrahan orang Islam Mekah ke Madinah. Bapanya Az-Zubair bin Al-`Awwam sepupu Nabi s.a.w. dan ibunya Asma' binti Abu Bakar As-Siddiq, emak saudaranya `Aishah binti Abu Bakar. Beliau syahid dibunuh oleh Al-Hajjaj bin Yusuf pembesar kerajaan Bani Umaiyah.
AMALAN DI BULAN JAMADIL AWAL
Amalan-amalan ibadat sama ada yang fardhu mahupun yang sunat di bulan Jamadil Awal adalah sama dengan bulan-bulan yang lain. Tiada amalan-amalan yang khusus yang dianjurkan oleh Islam dalam bulan ini. Walau bagaimanapun, kita diminta untuk meningkatkan amalan dari masa ke semasa walau dalam bulan mana sekalipun.
Terdapat banyak lagi amalan sunat yang masih kita tak buat atau tak berkesempatan buat. Maka pada bulan ini adalah masa yang sesuai untuk kita mengamalkan ibadah-ibadah sunat yang kita tidak berkesempatan untuk melakukannya sebelum ini. Disamping kita menjaga dan meningkatkan kualiti amalan-amalan wajib, kita juga mesti cuba memperbanyakkan amalan-amalan sunat yang kita ketahui. Amalan-amalan sunat adalah penampung atau pelengkap kepada amalan-amalan wajib kita.
Diantara amalan-amalan sunat yang menjadi amalan Rasulullah saw sepanjang tahun ialah solat tahajjud, solat qabliah dan ba`diah, puasa Isnin / Khamis, sedekah, membaca Al-Qur`an dan lain-lain lagi.
SUMBER : www.al-azim.com
Oleh Bahagian Buhuth dan Fatwa, Jabatan Mufti Melaka.
Rujukan;
1. Diari Perancangan Eksekutif Islam 1424-1425H/2004 terbitan Al-Hidayat Publishers
2. Mawsu'ah 1000 Huduth Islami oleh Abdul Halim Al-'Afifi terbitan Awwaq Syarqiyah, Beirut.
1 comment:
I'm truly enjoying the design and layout of your blog. It's а νery еasy on the eyes which makes іt much more enjoyаble for me
to сome here and visit moгe often. Diԁ you hiгe out а deѕignеr to create your theme?
Εхceρtіοnal woгk!
Also visit my homeрage; how to get bigger boobs naturally
Post a Comment